Pengalaman

Rezeki Dapat Anak Atau Tidak, Ini Yang Suami Isteri Perlu Buat

Rezeki Dapat Anak Atau Tidak, Ini Yang Suami Isteri Perlu Buat

Rezeki Dapat Anak Atau Tidak, Ini Yang Suami Isteri Perlu Buat – Setiap pasangan yang berkahwin pasti menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata. Tapi, kalau tiada rezeki untuk ada anak macam mana? Apa suami isteri harus buat?

Bagi pasangan yang sudah berkahwin, antara soalan sensitif untuk ditanya atau dibincangkan ialah soal anak.

Iyalah, kita hanya merancang, namun rezeki itu dari Dia. Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh berusaha.

Encik Izzat Ismail dan isterinya merupakan salah satu pasangan yang diuji dengan dugaan lambat mendapat cahaya mata.

Dan beliau telah berkongsi tentang pengalaman ikhtiarnya dalam mendapatkan cahaya mata ini. Rezeki dapat anak atau tidak, ini yang suami isteri perlu buat.

Ikuti perkongsiannya dalam FB tempoh hari, seperti berikut:

Berdasarkan perkongsian ini, Izzat telah menceritakan peringkat-peringkat yang beliau dan isteri telah lalui dalam proses mendapatkan cahaya mata.

Peringatan:, dapatkan nasihat doktor pakar sebelum membuat keputusan untuk mengambil apa-apa tindakan.

#1 Pemeriksaan doktor

Adalah penting sebelum membuat keputusan untuk mengambil apa-apa tindakan bagi cuba mendapatkan cahaya mata, dapatkan padangan doktor pakar dulu.

Di dalam kes ini, adalah penting untuk kedua suami dan isteri membuat pemeriksaan. Kebolehan untuk mengandung bukanlah hanya bergantung pada keadaan wanita sahaja.

Kadang-kala sperma lelaki yang bermasalah juga boleh menyebabkan kurangnya kebarangkalian untuk hamil.

Jadi untuk pemeriksaan, lelaki harus memberikan air mani untuk diuji. Melalui ujian yang dikenali sebagai SFA (ujian analisis air mani), tahap kesuburan seorang lelaki akan dinilai.

Bagi wanita pula, terdapat beberapa ujian yang harus dilalui, seperti:

1. Ujian darah untuk mengetahui paras hormon.

2. Lakukan imbasan pelvis untuk melihat sekiranya terdapat sesuatu yang tidak normal pada rahim, seperti ‘cyst’ pada kilang telur.

Rezeki Dapat Anak Atau Tidak, Ini Yang Suami Isteri Perlu Buat

3. Pemeriksaan tiub fallopio untuk mengetahui sama ada tiub tersumbat ataupun tidak. Terdapat dua kaedah umum:

i) HSG (Hysterosalpingogram). Kaedah ujian ini ialah di mana cecair khas akan dimasukkan melalui pangkal rahim dan beberapa imbasan x-ray bahagian pelvis diambil untuk mengetahui sama ada saluran peranakan tersumbat ataupun tidak.

ii) Diagnostik Lap and Dye test. Ini adalah pembedahan di mana pesakit akan diberi bius penuh dan teropong kamera akan dimasukkan melalui hirisan halus pada bahagian pusat. Bahagian dalam perut, rahim dan saluran peranakan dapat dilihat dengan jelas untuk mengetahui punca ketidaksuburan. Dalam waktu yang sama, cecair khas boleh dimasukkan melalui faraj dan seterusnya saluran peranakan untuk mengetahui sama ada ia tersumbat.

#2 Rawatan

Setelah masalah dapat dikenal pasti, barulah doktor pakar akan mencadangkan rawatan yang sesuai dengan diagnosis.

Rawatan berperingkat dan bergantung kepada masalah yang dihadapi oleh pasangan tersebut. Berdasarkan informasi dari Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), terdapat lima jenis rawatan kesuburan di Malaysia.

Namun, lazimnya ia merangkumi 3 jenis ini:

1. Ubat Kesuburan

Ubat ini akan membantu merangsang proses ovulasi dengan meningkatkan rembesan hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan LH (luteinizing hormone).

Ubat popular akan disarankan oleh doktor adalah Clomid.

Doktor akan menyarankan isteri mengambil ubat ini pada hari ke-3 datang haid selama 5 hari.

Kemudian doktor akan memantau perkembangan folikel pada hari ke-12 melalui ‘vaginal ultrasound’.

2. Kaedah IUI

Permanian beradas atau teknik IUI (Intra Uterine Insemination) dilakukan dengan memindahkan sperma lelaki yang bergerak pantas terus ke dalam rahim wanita melalui satu tiub halus sewaktu ovulasi hampir berlaku.

Prosedur ini boleh dilakukan sekiranya salah satu tiub fallopian tidak tersumbat.

Doktor akan mengesyorkan kaedah ini jika wanita itu mempunyai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan dan ovulasi yang normal.

Prosedur ini juga dilakukan sekiranya lelaki mempunyai masalah mati pucuk atau ejakulasi pra-matang atau sperma yang tidak terlalu bermasalah.

Dalam kaedah ini, doktor akan memberi preskrispsi ubat kesuburan merangsang folikel dan dipantau untuk waktu kesuburan.

Suami pula perlu menyediakan sampel sperma semasa hari prosedur dan hanya sperma yang sihat akan dipilih dan dipindahkan terus ke dalam rahim melalui tiub kecil.

Kaedah ini dilihat mempunyai peratusan keberkesanan yang lebih tinggi pada pasangan yang lebih muda.

3. Teknik Bantuan Konsepsi

Sekiranya teknik IUI tidak berjaya, Teknik Bantuan Konsepsi atau Assisted Reproductive Technology (ART) akan dikenalkan.

Ia adalah di mana persenyawaan telur dan sperma akan dilakukan di luar tubuh badan sebelum disuntik ke dalam rahim wanita.

Terdapat dua teknik di dalam teknik bantuan konsepsi, iaitu:

i. IVF

Persenyawaan in-vitro (IVF) dilakukan dengan cara mensenyawakan sampel sperma dan telur di dalam makmal.

Kemudian embrio yang terhasil akan dipindahkan dalam rahim wanita. Doktor akan mencadangkan kaedah ini sekiranya:

terdapat masalah pada tiub fallopian
masalah kitaran ovulasi
masalah endometriosis
Isteri akan diminta supaya mengambil ubat kesuburan untuk mendapatkan beberapa telur.

Kemudian, doktor akan memilih telur yang sihat untuk menjadi sampel melalui teknik ultrasound dan pembedahan kecil.

Dalam peringkat ‘insemination’, telur dan sperma pasangan akan digabungkan dan disimpan di makmal untuk pemerhatian.

Sekiranya berjaya, hasil gabungan tersebut akan bertukar menjadi embrio dan akan dipindahkan ke dalam rahim.

ii. ICSI

Intra Cytoplasmatic Sperm Injection di mana doktor akan mencadangkan kaedah ini sekiranya:

Bilangan sperma rendah. sperma tidak mampu memasuki telur dengan sendiri. Proses ini dilakukan apabila satu sperma disuntik ke dalam telur dengan menggunakan alat manipulasi mikro.

Kemudian sama seperti IVF, hasil yang berjaya akan bertukar menjadi embrio dan dipindahkan ke dalam rahim.

Semoga perkongsian rezeki dapat anak atau tidak, ini yang suami isteri perlu buat ini dapat membantu anda. Sama-samalah mencuba dan jangan berputus asa, ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *